Saturday, May 17, 2008

Usrah Pakatan Rakyat?

Dalam AGM Pemuda PAS kawasan Serdang lebih kurang sebulan lepas, terdapat satu usul dari perwakilan untuk mewujudkan apa yang dinamakan usrah pakatan rakyat ('PR'). Cadangan tersebut menarik minat saya memandangkan ianya adalah tepat sekali sempena kemenangan PR menguasai 5 negeri dalam PRU yang lalu.


Usrah sememangnya mekanisame bagi ahli-ahli PAS untuk duduk seminggu sekali atau beberapa kali dalam satu bulan untuk berdiskusi dalam kelompok kecil dengan seorang naqib membacakan teks atau buku-buku karangan ulama' harakah di samping mendengar tafsir atau hadis-hadis dengan huraian bersifat semasa.


Sememangnya menjadi kekuatan PAS sejak sistem usrah diperkenalkan dalam pentarbiyahannya. Ia adalah tempat menyelaraskan pemikiran ahli yang pelbagai, memperbetulkan cara berfikir dan mendapatkan arahan terkini dari pimpinan parti peringkat atas untuk dilaksanakan.

Kadangkala selepas usrah juga terus diadakan mesyuarat ringkas berkenaan apa-apa isu yang difikirkan perlu tanpa banyak unsur formal sebagaimana yang diamalkan di cawangan tempat saya tinggal sekarang.

Usrah adalah medium yang berkesan untuk menyampaikan teguran kepada ahli secara 'halus' dan penuh hikmah tanpa mengguris hati kerana kadang-kala teks yang dibacakan itu sendiri boleh men'tazkirah'kan ahli tanpa menyebut secara langsung.


Mudahnya, kuat suatu cawangan atau kawasan kerana kekuatan usrah.

Namun, bagaimanakah sekiranya usrah PR hendaklah dijalankan? Bagaimana kaedahnya? Apa kitab rujukannya ? Dan wajarkah diguna nama 'usrah' ( walaupun masalah nama ialah perkara kecil)? Ini kerana persepakatan ini diraih secara tak langsung dalam ertikata menolak penguasaan BN dalam negara yang terlalu menindas rakyat sepanjang pemerintahannya serta menembalikan pentadbiran beramanah dalam negara ini. Pakatan ini bagi saya bukanlah pakatan dalam ertikata penyatuan fikrah yang mendasar seperti PAS dengan dasar Islamnya, DAP dengan dasar demoratiknya dan PKR pula dengan ... (dengan apa ya? ).Ya, dengan kevokalannya menentang pemerintah BN.


Kesudahannya usul tersebut ditolak oleh perwakilan kerana tiada mekanisme yang jelas dibentangkan oleh pembawa usul. Mesyuarat juga secara tak langsung telah meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pimpinan Pusat untuk memulakannya terlebih dahulu dan menggariskan mekanisme yang boleh dijalankan oleh ahli yang berada di peringkat bawahan memandangkan perkara ini agak mendasar dalam parti. Ahli tidak mahu mendahului pimpinan.


Namun saya optimis dengan usul tersebut dan menyokong jika telah jelas mekanismenya. Hal ini kerana kejayaan usrah telah terbukti dalam mengumpul kekuatan PAS. Apatah lagi ia adalah peluang dakwah kepada golongan bukan Islam dan orang-orang Islam dalam PR kepada memahami Islam yang syumul. Di samping ahli-ahli parti boleh bertaaruf dan berinteraksi dengan dasar perjuangan parti-parti lain dalam PR.

Mungkin juga ceramah-ceramah anjuran parti atau forum-forum sudah cukup untuk mentarbiyah mereka tanpa perlu usrah.
Sekadar cetusan, wassalam.

No comments: