Friday, October 24, 2008

Kalimah Allah : Wajarkah Digunakan oleh Penganut Agama Selain Islam?


Salam,

Kes Mahkamah untuk mengisytiharkan penggunaan kalimah Allah tidak ekslusif kepada orang Islam di negara ini yang difailkan oleh pihak Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumpur, sedang memasuki fasa bagi mendengar permohonan beberapa pihak untuk mencelah (atau mudahnya untuk menjadi pihak) dalam guaman tersebut pada 21 November 2008 akan datang.


Antara pihak yang ingin mencelah ialah Majlis-majlis Agama Islam negeri-negeri seperti Terengganu, Johor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Selangor serta NGO Islam MACMA.
Pihak Majlis Gurdwara Malaysia (Agama Sikh) juga turut berminat mencelah atas asas bahawa dalam manuskrip agama mereka, kalimah 'Allah' juga ada yang digunakan untuk merujuk kepada maksud 'Tuhan Maha Kuasa', 'Maha Esa', 'Maha Pengasih dan Pengampun'. Menurut mereka ia adalah sebahagian dari ajaran versi asal dalam kitab suci Sikh, Sri Guru Granth Sahib Ji.


Apa yang ingin saya fokuskan di sini ialah apakah pendirian kita yang perlu diambil dari hal ini. Sepintas lalu saya berpendapat, kes ini seharusnya dijadikan peluang untuk umat Islam menghujahkan kebenaran Islam dan aqidahnya kepada penganut-penganut agama lain.


Garis hujahannya (line of argument) di Mahkamah untuk membantah permohonan tersebut perlulah dimulai dengan menerangkan konsep tuhan yang diimani oleh umat Islam. Sejarah kemunculan agama-agama utama di dunia juga perlulah dibentangkan. Ini adalah atas asas bahawa sememangnya agama-agama lain pernah menggunakan nama Allah dalam ajaran mereka, ini tak dapat dinafikan kerana agama-agama tersebut berasal dari ajaran Tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu atau mungkin menerima kesan-kesan ajarannya, yang lama-kelamaan telah hilang keasliannya.


Apa yang sepatutnya menjadi bantahan kita adalah bagaimana konsep 'Allah' itu sendiri digunakan secara tepat dalam kepercayaan agama-agama lain. Ringkasnya, tersalah dalam menggunapakai sesuatu istilah boleh menyebabkan berlakunya salah faham yang mendasar mengenai konsep sebenar sesuatu istilah tersebut. Contohnya seperti salah meletakkan perkataan hadhari di belakang perkataan Islam (Islam Hadhari) boleh menyebabkan salah faham terhadap konsep atau makna Islam itu sendiri.

Insya Allah, moga-moga dengan membawa hujah perbandingan sebegini, golongan bukan Islam akan dapat menilai kebenaran ajaran Islam. Moga-moga ianya menjadi suatu dakwah yang berguna.

Sekadar pandangan.


No comments: