Tuesday, December 18, 2007

UKHUWAH ITU RUKUN SEORANG MUKMIN


Ukhuwah secara bahasanya bermaksud persaudaraan. Ku kenali istilah tersebut, seawalnya secara teori dan amali sewaktu bersekolah menengah asrama penuh, kira-kira 12 tahun dahulu.

Ku kira ukhuwah adalah unsur penting bagi mengikat hati-hati sekumpulan manusia dalam mana-mana tempat dan keadaan. Apatah lagi ukhuwah menjadi rukun yang penting bagi organisasi gerakan Islam yang mengumpulkan pelbagai latarbelakang dan ragam manusia serta cara berfikir untuk ditautkan hati-hati mereka di atas sesuatu isu atau keputusan.

Ukhuwahlah yang menjadi pemangkin yang membantu seseorang boleh berlapang dada dengan orang lain walaupun berbeza pendapat, disamping kefahaman yang selaras, peraturan organisasi, hukum-hakam serta akal yang sihat.

Ukhuwah kadangkala mudah dan cepat suburnya dan adakalanya lambat dan sukar serta memerlukan masa yang panjang untuk bermujahadah. Pengalaman mengajar kita sedemikian. Kadangkala kita cepat mesra dengan seseorang yang baru sahaja dikenali dan dalam masa yang sama kita lambat mesra dengan orang yang telah lama kita kenali.

Ku kira bagi seorang muslim mukmin, perasaan ukhuwah yang disuburi dengan imanlah yang menyebabkan hati bersedih bilamana melihat kesengsaraan dan kezaliman yang menimpa umat Islam di Palestin baik, di Iraq serta di selatan Thai dan sebagainya, selain unsur manusiawi yang Allah jadikan dalam setiap diri manusia tanpa mengira kepercayaan atau kaum.

Sabda Nabi junjungan sallaHu 'alaihi wasallam dalam perkara ini ada benarnya seperti maksud hadis di sini :

"Ruh-ruh itu bagaikan satu batalion tentera ( junudul mujannadah). Mana-mana yang ia kenal ia akan masuk bersatu, dan mana-mana yang ia tidak kenal/serasi, ia tidak akan masuk bersatu"

Ukhuwah, ku kira, termasuk dalam unsur ruh yang tidak dapat disukat dengan sukatan kasar atau fizikal. Namun kesannya boleh dilihat di alam nyata melalui kesungguhan atau komitmen dalam menjaga hubungan, cepat memberi respons dan organisasi yang lancar walau dengan arahan dan tunjukajar yang ringkas.

Kadangkala, sebagai anggota gerakan Islam, kita turut ter'ghurur' (tertipu) dengan perisai ukhuwah bilamana ia dijadikan alasan apabila berhadapan dengan masalah prinsip yang perlu dipertahankan atau mem'backing' sahabat karib atau diri sendiri yang menyalahi prinsip tersebut. Contoh kecil yang berlaku ialah dalam e-group. Bilamana ada ahli yang menegur ahli lain dalam sesuatu perkara yang dikira menyalahi prinsip, maka akan ada watak pendamai yang membawa mesej ukhuwah contohnya seperti " Jangan gaduh-gaduh" yang bertujuan meredakan kepanasan yang berlaku dalam e-group.

Ku kira tindakan sebegini, perlu juga diberi pujian. Namun dalam masa yang sama yang salah dan yang benar itu perlu dijelaskan secara jelas menurut adab-adab akhlak Islamiah supaya isu sebenar tidak dipesongkan atas alasan 'menjaga ukhuwah'.

Oleh itu ukhuwah itu sendiri tegaknya dengan kefahaman yang benar pada sesuatu permasalahan.

Ukhuwah itu suatu yang suci sesuci ingatan Junjungan mulia tehadap umat sewaktu maut hampir datang menjemput Baginda. Ia juga sesuci seperti sucinya tangan-tangan kaum muslimin yang sanggup mengangkat pedang terhadap kaum keluarganya sendiri yang masih musyrik sewaktu pertempuran dua golongan , golongan iman dan golongan syirik dalam Perang Badar.

Orang-orang yang menuturkan ukhuwah tidak ramai yang mampu menggalas beban ukhuwah dalam bentuk bergerak kerja dalam jamaah. Ada yang hanya mampu melihat bebanan sahabat melaksanakan sesuatu program tanpa merasa perlu meringankan beban sahabat tersebut walau sekadar kata-kata sokongan atau setinggi-tingginya meng'offer'kan diri menjadi AJK. Ku kira ujian sebenar ukhuwah berlaku di sini.

Ku kira juga ukhuwah yang hakiki tidak terbina dengan slogan-slogan yang boleh dihias dengan bunga-bunga bahasa sebagai tema suatu program. Ukhuwah yang hakiki ku kira, akan subur selama mana sahabat-sahabat yang pernah berukhuwah itu, menghubungkan dirinya pada tali Allah yang menjadi asas bermulanya persaudaraan mereka itu. Selama mana jarak dan masa memisahkan, ukhuwah takkan tergugat selagi berpegang pada asas yang pernah membina ukhuwah itu sendiri suatu ketika dahulu.

Kepada Allah kuserahkan segala urusan atas kelemahanku menanggung beban ukhuwah fiLlah yang diungkapkan di ruangan ini....

"Semoga Ukhuwah FiLlah Subur Selamanya"

Wassalam.

- abduhu, 3:07 am, Bangi -

Saturday, January 20, 2007

Selamat Tahun Baru Islam

Selamat Tahun Baru Islam, 1428H!

Thursday, January 18, 2007

kumpulan kertas-kertas kerja ilmiah 'berat'.

http://alambuku.tripod.com/pdf/ISoITCD%20XP.pdf
" afa hasibtum annama khalaqnakum 'abasa wa antum ilaina la turja'un. Fata'alalLahul malikul haqqu la ilaha illahu 'alaihi tawakkaltu wa huwa rabbul 'arsyil kariiim "

( alunan ketika pulang dari kerja, 17/01/2007)

Wednesday, January 17, 2007

Kebenaran( dilema antara 'Sejarah' dan 'Undang-undang' )

Kebenaran
( dilema antara 'Sejarah' dan 'Undang-undang' )

Sejarah menggali dan mendedahkan fakta sebenar dan mengemukakan teori masa depan berdasarkan kebenaran fakta yang didapati.

Undang-undang pula menyelidiki fakta dan menghujahkan kebenaran berdasarkan fakta dalam kerangka undang-undang yang benar (adil) atau batil ( tidak adil)

yang mana satu menjadi pilihan?

Tuesday, January 09, 2007

Pilihanraya Di Sudut Aqidah

PILIHANRAYA DI SUDUT AQIDAH
(Huraian dari pengisian usrah Jaringan Siswazah Malaysia, 07 Januari 2007 yang disampaikan oleh al Fadhil Ustaz Mansor Bin Sulaiman, M.A UKM)

Di dalam sejarah umat manusia, Islam mengajar kita bahawa akan senantiasa ada pertembungan di antara golongan yang hak dengan golongan batil .

Pertembungan ini dalam ilmu Islam dikenali sebagai Sunnah At Tadafu' (Sunnah pertembungan). Sunnah ini merupakan salah satu daripada Sunnatullah yang pasti akan berlaku sepanjang zaman sebagaimana yang difahami bentuk penceritaannya dari sumber agung AlQuranul Karim.

Tujuan Allah Ta'ala menetapkan sunnnah ini tidak lain tidak bukan ialah bertujuan membezakan antara yang baik ( at tayyib ) dengan yang buruk ( al khabith ) di kalangan umat manusia.

Sunnah ini berlaku sesama manusia yang melibatkan pertembungan antara golongan yang mengikut kebenaran Islam, yang dinamakan orang-orang mukminin dengan golongan penentangnya yang tergolong di kalangan musyrikin, kafirin atau pun munafiqin.

Sunnah ini juga boleh berlaku di kalangan orang-orang orang yang beriman bagi tujuan menyaring orang-orang beriman dengan ujian-ujian untuk menguji keimanannya kepadsa Allah. Dalam konteks ini, ia dikenali sebagai Sunnah At Tamyiz, yakni sunnah penyaringan keimanan.

Fenomena Sunnah At Tadafu' ini memperlihatkan kesungguhan golongan hak mempertahankan aqidah dan prinsip yang dianut ketika berhadapan dengan ketaksuban golongan batil yang juga mempunyai prinsip dan aqidah mereka tersendiri serta memerangi golongan hak. Golongan yang teguh memegang prinsip yang dianut, pasti akan mencapai kemenangan dalam perjuangan mereka walaupun mengambil masa yang begitu lama atau memilih antara kemenangan atau syahid pada jalan Allah.

Bentuk-bentuk pertembungan melibatkan pertembungan di sudut idea atau fikrah, pengucapan dan juga secara fizikal. Telah banyak yang dilihat di sepanjang zaman bahawa tidak sedikit golongan hak yang mengalami serangan fizikal hingga ke tahap kehilangan nyawa bilamana mempertahankan aqidah keimanan di hadapan golongan batil sepertimana yang dirakamkan di dalam surah al Buruj iaitu kisah Ashabul Ukhdud.


(bersambung...)

- muhd_abduhu, 09 Januari 2007-