Thursday, November 05, 2009

PENGADUAN KEPADA PIMPINAN TERTINGGI



sumber gambar : http://trgkini.blogspot.com/

(1)
Bismillahir Rahmanir Rahimm
Segala puji bagi Engkau, Tuhan sekalian alam
Selawat dan salam atas Junjungan Nabi yang mulia
semulia-mulia nabi dan rasul

Ya Allah, ya Tuhan kami
Kami adalah hambaMu yang serba kekurangan dan kelemahan
Ubun-ubun kami di dalam genggamanMu
Telah berlalu hukumMu ke atas kami dan amat adil segala putusanMu
kepadaMu kami adukan permasalahan umat ini
dengan segala kelemahan dan kerendahan

(2)
Ya Rahman, ya Rahim
Umat ini sedang dibadai fitnah
Umat ini sedang retak
Umat ini sedang gelisah

(3)
Ya Allah,
Umat ini pernah suatu masa dahulu
Menikmati manisnya kesusahan dalam berjuang
Umat ini pernah suatu masa dahulu
Bulat dalam satu jamaah, sama bertekad mencapai kemenangan
Umat ini juga pernah pada suatu masa dahulu
Saling berpadu mendepani ujian
Ujian yang bukan sembarangan mudahnya bagi manusia biasa lain
Ujian yang menguji kesanggupan diri dan harta
Malah adakalanya juga nyawa sebagai taruhan
Namun ujian tersebut berjaya dilalui oleh kami
Berbekalkan kata-kata azimat
Jika dipenjara kami beruzlah
Jika dibuang kami berkelana
Dan jika dibunuh kami syahid
seiring dengan ampuhnya wirid kesatuan hati warisan al Banna
yang sentiasa membasahi bibir dan menggetarkan jiwa


(4)
Ya Allah, Ya Rabbi
Umat ini sedang dibadai fitnah
Fitnah yang merobek dan mengoyak kesatuan hati
Finah yang memisahkan antara dua sahabat sejati
Fitnah yang telah merungkai ikatan persaudaraan iman yang dibina bertahun lama
sesama pimpinan mahupun yang dipimpin
saling curiga-mencurigai, tanda hilangnya salamatus sadri
Datangnya ia tanpa diduga di zaman kemenangan dan kesenangan
Walhal matlamat yang dituju selama ini hanyalah beberapa langkah di hadapan
Apakah kerana kami telah mengingkari suruhan-suruhanMu
dalam sahsiah peribadi kami
dalam niat dan amal dalam perjuangan siasah kami
dalam adab tertib kami sesama kami
atau kerana sesetengah kami gopoh dan takjub dengan pemikiran perubahan baru
atau juga kerana sebahagian kami sombong mengekalkan pegangan warisan lama
namun masing-masing sama sahaja
jika telah dijangkiti penyakit" i'jaabul mar'u bira'yihi" sepertimana sabda kekasihMu
tanpa berusaha mencari titik temu
Padahal di zaman susah dahulu, perbezaan fikir tidak memecahkan hati dan tindakan kami
Lantas, mengapa pula sekarang perbezaan yang sama menyebabkan kami saling berseteruan ?


(5)
Ya Allah ,ya Tuhan kami
Umat ini tidak menemukan jawapan permasalahannya
Umat ini benar-benar dalam kebingungan
Kebenaran yang dicari semakin disuluh dan disingkap, semakin kabur dan kelam
Malah kebatilan pula yang terang kelihatan dan menyelinap berbekas di hati
Kesatuan dan persaudaraan iman pula seakan dipinggirkan
Hingga menyoal diri, apakah perkumpulan umat ini sudah tidak lagi dirahmati
Apakah perkumpulan umat ini bukan lagi menjadi pilihanMu
dalam menegakkan yang hak
Jika Engkau suka dan redha, boleh saja Engkau gantikannya dengan angkatan yang lain,
yang Engkau cintai mereka dan mereka mencintaiMu
Namun, Engkau jualah yang amat mengetahui hakikat di sebalik semua ini
adalah juga pentas ujian yang berterusan menapis kekudusan perjuangan di jalanMu

(6)
Allahumma Ya Musta'an
inilah pengaduan kami
robohkanlah benteng keakuan yang menjarakkan antara kami
satukan kembali hati dan fikir kami
dan kurniakan kembali ketenangan buat umat yang berjuang ini
Ilahana, Engkaulah Pimpinan Tertinggi kami
pimpinlah kami dengan pimpinan hidayatMu
dalam menghadapi kebatilan yang hadir umpama kepingan-kepingan malam yang gelap pekat
juga dalam memimpin tangan mad'u-mad'u kami
dan janganlah sekelip pun
Engkau biarkan kami menanggung beban ini
dengan kudrat dan tabiat kami yang serba lemah ini

Amin ya Arhamar Rahimin...


-TJ,
12.58 am, 7.11.2009-

No comments: